اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
06hb Mei 2019 (Isnin)
Kadangkala, apa yang kita impikan dan ingini tidaklah semudah seperti yang kita sangkakan. Ada jua yang berputus asa kerana kurang yakin pada kemampuan diri dan lupa bahawa Allah SWT maha berkuasa atas segala sesuatu. sebagai manusia yang serba serbi lemah dan penuh kekurangan, adalah penting untuk memnta bantuan dari Allah dengan memperbanyakkan doa pada setiap solat lima waktu di samping solat-solat sunat seperti solat hajat dan sebagainya.
Meminta restu dan doa orang tua dan guru-guru juga adalah salah satu kunci kejayaan untuk para pelajar. Ketahuilah, kadang, kejayaan yang kamu sangka milik kamu kononnya kerana jerih payah diri sendiri sebenarnya dikurniakan oleh Allah atas sebab doa orang-orang sekeliling, bukan semata-mata atas usaha kamu sendiri. Pernahkah kita mendengar ada antara rakan-rakan yang kurang belajar tapi masih mampu mendapat keputusan yang baik? kerana Allah maha berkehendak dan jangan pandang rendah pada kekuatan doa, kerana doa adalah senjata kita sebagai orang Islam.
Menyentuh tentang kekuatan doa dan betapa pentingnya keyakinan diri itu, seorang mahasiswi UNISSA di jemput untuk sama-sama berkongsi masalah keperitan, kesusahan dan kesungguhan beliau sehingga mampu mendapat 8 O level. Inisiatif ini dirasakan perlu kerana ramai dikalangan pelajar kelas express Sekolah Menengah Katok agak tertekan dan hilang keyakinan diri.
Diharap sesi motivasi dan kongsisama ini sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan keresahan dihati dan dapat menyuntik semangat mereka. Ketahuilah, dalam surah Ar Ra'd ayat 13 Allah sendiri berfirman,
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
Mafhumnya, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali mereka sendiri mengubahnya".
Maksudnya, jika kita ingin mendapatkan sesuatu, maka kita perlulah berusaha, berikhtiar dan berdoa tanpa henti sehingga kita memperolehi apa yang kita ingini. Namun, jika Allah berkehendakkan yang lain, maka husnudzonlah selalu kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik bagi diri kamu, kerana rezeki itu hadir dalam pelbagai bentuk dan berlainan waktu.